Saya Suka Matematik

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..

Sekadar berkongsi…

Di Malaysia dan di seluruh dunia, matematik telah dikenal pasti sebagai satu mata pelajaran yang penting dan oleh sebab itu ia diajar di semua peringkat pendidikan iaitu bermula dari pra-sekolah hingga ke Universiti. Namun begitu, ramai pelajar menganggap bahawa matematik merupakan suatu mata pelajaran yang tidak menarik, sukar, dan membosankan jika dibandingkan dengan mata pelajaran lain seperti bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Seni, Muzik dan Pendidikan Jasmani. Oleh sebab itu ramai pelajar khasnya kaum Melayu tidak berminat untuk mempelajari mata pelajaran ini dengan bersungguh-sungguh.

Walaupun ramai pelajar tidak meminati mata pelajaran matematik dengan alasan subjek tersebut sangat sukar dan membosankan namun bagi saya, matematik merupakan mata pelajaran yang sangat saya minati kerana sangat menarik dan menyeronokkan. Sebenarnya matematik merupakan satu  mata pelajaran yang mempunyai kaitan secara langsung dengan kehidupan kita sehari-harian. Segala aktiviti dalam kehidupan melibatkan matematik secara langsung seperti perniagaan, masa dan waktu,  pengukuran, kajian bintang, arkitek dan sebagainya. Saya sedar bahawa sebahagian besar kerjaya atau bidang pekerjaan pada masa kini dan pada masa akan datang memerlukan pengetahuan matematik yang mantap.
Bagi menguasai matematik dengan baik, selain mempunyai otak yang cerdas dan sikap yang positif, ibu bapa, keluarga dan sekolah memainkan peranan yang besar dalam perkembangan dan kemajuan matematik seseorang

Kesimpulannya saya sedar bahawa matematik merupakan satu cabang ilmu yang sangat penting pada masa sekarang. Hal ini kerana dalam kehidupan seharian kita tidak boleh lari dari penglibatan matematik. Dari aktiviti jual beli di pasar hinggalah ke penerokaan ke angkasa lepas, kira mengira dengan tepat amat diperlukan. Perkara yang saya harapkan ialah tanggapan sebahagian pelajar mendapati bahawa mempelajari matematik adalah sukar dan membosankan akan bertukar menjadikan matematik merupakan mata pelajaran yang mudah lagi menyeronokkan untuk dipelajari pada masa akan datang.

Tugasan Oh Tugasan..

Assalamualaikum semua dan salam sejahtera…

Pembinaan blog ini adalah bagi memenuhi tugasan 6044 Pembelajaran Berasaskan Elektronik Dan Web. Syukur akhirnya dengan berkat tunjuk ajar kawan-kawan sekuliah – adik Yan, cikgu Nuurul, cikgu Ida, adik Jue , Cikgu Nik Mastura dan Cikgu Siti maka terciptalah blog simple dari saya. Tidak lupa sekalung penghargaan kepada Profesor Madya Dato’ Dr. Abdul Latif bin Haji Gapor di atas bimbingan dan tunjuk ajar yang tidak terkira kepada saya. Semoga blog ini dapat memberi manfaat kepada kita semua..Terima kasih sekalung budi…